Masih ingatkah kalian sejarah ketika kejadian Isra' Mikraj dimana Nabi Muhammad S.A.W telah diperlihatkan keadaan lelaki dan perempuan yang diletakkan di hadapan mereka dua piring, sebuah piring tersebut berisi daging yang elok dan membangkitkan selera manakala sebuah piring lagi dipenuhi dengan daging busuk yang sudah berulat dan jijik?
Namun kelihatan oleh Nabi Muhammad S.A.W ketika itu keadaan lelaki dan perempuan tersebut yang sungguh aneh sekali kerana mereka sanggup menjamah daging yang telah busuk dan berulat tersebut daripada menjamah daging yang masih elok dan membangkitkan selera. Maka Rasulullah S.A.W telah diberitahu oleh malaikat Jibril A.S bahawa golongan yang sedang menjamah daging busuk tersebut adalah mereka yang terdiri daripada golongan penzina.
Siapakah yang digolongkan dalam golongan penzina ini? Mereka ini sebenarnya terdiri daripada manusia-manusia yang gemar melakukan seks bebas dan seks sebelum bernikah. Bagaimana pula sekiranya mereka pernah terlanjur mengadakan hubungan seks luar nikah tetapi kemudiannya bertaubat? Maha Suci Allah, Dialah yang menentukan segalanya samada taubat mereka itu diterima ataupun ditolak. Dengan melakukan taubat nasuha dan tidak mengulangi ketelanjuran tersebut, Insya-Allah Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka tersebut. Wallahualam.
Allah turut memperlihatkan kepada Nabi Muhammad S.A.W ketika peristiwa Isra' Mikraj bagaimana sekumpulan wanita yang digantung buah dadanya dengan rantai yang diperbuat daripada Api Neraka dan dari faraj mereka keluarlah lendiran busuk yang berupa nanah (berbau lebih dasyat daripada bangkai haiwan), sehinggakan mereka yang turut berada di dalam api neraka tersebut sendiri jijik melihat keadaan mereka tersebut dan minta dijauhkan daripada wanita-wanita tersebut. Jibril A.S memberitahu Nabi Muhammad S.A.W bahawa mereka itu adalah terdiri daripada golongan-golongan yang tidak menjaga kehormatan dan maruah diri.
Rasulullah S.A.W pernah bersabda: Jauhilah oleh kamu akan perbuatan zina kerana penzina akan ditimpa empat jenis kecelakaan atau bala iaitu akan hilanglah seri dan nur daripada wajahnya, akan dipersempitkan rezekinya, akan menerima kemurkaan Allah selamanya dan berkekalan dibakar dan diseksa didalam api neraka.
Firman Allah S.W.T (An-Nur ayat 2) yang bermaksud: Perempuan dan lelaki yang berzina hendaklah kedua-duanya disebat dengan 100 kali sebatan(setiap seorang), dan janganlah kasihani mereka ketika menjalankan agama Allah(ketika melakukan sebatan ini) , jika kamu tergolong dalam golongan yang benar beriman kepada Allah. Hendaklah hadir ketika menyeksa kedua duanya...
Sabda Rasulullah S.A.W: Tidak akan terjadi hari kiamat sehingga langit tidak lagi menurunkan hujannya, bumi tidak lagi mengeluarkan hasilnya dan seorang wanita (tidak hanya terdapat) bagi mereka seorang lelaki sebagai pemberi nafkah.(bermaksud seorang wanita yang bersuami tetapi masih berzina dengan lelaki lain) Demikian itu pada hari tersebut suaminya akan melihat kepada isterinya lalu dia berkata ,' sesungguhnya wanita ini telah pernah berhubungan(berzina) dengan lelaki lain'-hadith riwayat Imam Ahmad
Hadith ini menyebut tentang kecurangan wanita iaitu isteri terhadap amanah suami sepanjang peninggalan suaminya. Bukan sahaja harta benda suaminya tidak dijaga, malah dirinya yang merupakan hak mutlak suaminya pun tidak dijaga dan digadaikan tubuhnya kepada lelaki lain. Nafkah yang disebut didalam hadith diatas merujuk kepada nafkah batin iaitu wanita tersebut tidak sahaja mendapatkan nafkah batin daripada suaminya yang sah tetapi juga melakukan hubungan seks dengan lelaki lain ketika tidak diketahui suaminya. Manakala ayat seterusnya iaitu demikian itu pada hari tersebut suaminya akan melihat kepada isterinya lalu berkata, sesungguhnya wanita ini pernah berzina dengan lelaki lain bermaksud pada ketika hampir kiamat itu berlaku seorang isteri bukan sahaja berani melakukan persetubuhan dengan lelaki lain dibelakang suaminya tetapi juga dihadapan dan dengan pengetahuan suaminya. Astagfirullahalazim! Itulah yang terjadi kini bukan?
Rakan-rakan yang dikasihi sekelian, jauhilah diri daripada melakukan zina dan segala perkara yang mendorong ke arah zina. Sedih rasa hati apabila setiap hari saya terbaca kisah-kisah penzinaan didalam surat khabar dan sebagainya. Sekarang, zina bukan sahaja dilakukan oleh pasangan kekasih yang sedang hangat bercinta, namun turut berlaku diantara kawan-kawan secara suka-suka, adik beradik dan juga sepupu sepapat terdekat. Ya Allah! Malah, turut lebih menyedihkan apabila pasangan yang berzina tersebut melakukan zina sehingga si wanita itu mengandung anak luar nikah dan menggugurkan kandungannya atau membuang bayi tersebut setelah dikandungnya
Orang-orang yang berzina diberikan balasan oleh Allah sejak di dunia lagi seperti penyakit-penyakit Aids, HIV, siplis dan barah. Malah lebih memalukan apabila masyarakat sekeliling tahu akan penyakit tersebut terjadi akibat perbuatan zinanya. Malah dosa paling terbesar selepas syirik kepada Allah ialah dosa berzina!
Bertaubatlah dengan bersungguh-sungguh sekiranya pernah terlanjur. Allah maha pengampun dan akan menimbangkan taubat orang yang benar-benar ingin menjauhi dosa dan ingin kembali melakukan kewajipan yang selama ini diabaikan.
Sumber rujukan: Buku berjudul 3 tokoh bakal menakluk dunia oleh Ustaz Jaafar Bin Salleh terbitan Pustaka Azhar dan internet.
No comments:
Post a Comment